Tuesday, 2 August 2016



AL IMAM : Perintis Persuratkhabaran Melayu

Al-Imam merupakan sebuah majalah tulisan jawi yang mula diterbitkan pada awal abad ke-20. Majalah ini diterbitkan di Singapura sebanyak 31 keluaran. Terdapat empat tokoh utama yang menerbitkan majalah Al-Imam. Mereka ialah Sheikh Tahir Jalaludin , Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi, Haji Abbas Mohd Taha dan Sheikh Mohd Salim Al-Kalali.

Mereka ini merupakan tokoh reformis Islam yang membawa satu perubahan kepada bangsa Melayu pada ketika itu. Tujuan utama majalah Al-Imam diterbitkan adalah untuk mengingatkan perkara yang membawa kepada kebaikan dan menyampaikan kebajikan kepada orang Melayu.
Al-Imam telah membawa satu wadah perjuangan gerakan reformis Islam di negeri-negeri Melayu. Majalah ini bukanlah sebuah majalah yang biasa-biasa tetapi ianya satu alat untuk menyedarkan masyarakat Melayu yang alpa pada ketika itu. Justeru, Al-Imam selayaknya digelar sebagai perintis persuratkhabaran Melayu.
Pada dasarnya, Al-Imam menumpukan kepada masalah agama.  Al-Imam menyeru orang Melayu berpegang kepada Al-Quran dan Hadis. Al-Imam dalam setiap terbitannya sentiasa menyentuh isu soal sebab-sebab kemunduran umat Islam terutamanya bangsa Melayu dan mengecam sifat-sifat bangsa Melayu yang terkebelakang, dijajah bangsa lain, dan suka berselisih sesama sendiri.  Gagasan utama yang cuba diketengahkan dalam Majalah Al-Imam adalah mengenai kemunduran orang Melayu dan langkah-langkah untuk mengatasi permasalahan tersebut.
Al-Imam menekan akan pentingnya pelajaran sebagai kunci utama kesedaran dan kemajuan satu-satu bangsa.  Al-Imam juga menyentuh soal sosial, ekonomi dan politik Melayu. Perkara sosial yang disentuh berkenaan pendidikan orang Melayu dan sikap orang Melayu yang tidak bersatu padu di samping suka bergantung kepada usaha-usaha bangsa lain dalam kebanyakan hal terutamanya dalam soal ekonomi.
Dari aspek politik pula, Al-Imam menyindir pihak penjajah serta peranan raja-raja dan pembesar Melayu. Secara kritisnya, Al-Imam telah mengupas mengenai masalah orang Melayu.

Akhbar ini merupakan akhbar Melayu pertama yang mengandungi pemikiran yang menyeru kepada perubahan sosial dalam masyarakat dengan memasukkan unsur politik dalam tulisan yang diterbitkan.